Ikhtiar rawatan yang kita lakukan adalah dengan doa-doa dan ia
lebih mustajab lagi apabila kita mendoakan mereka sedangkan mereka
tidak mengetahui kita mendoakan untuk mereka sebagaimana yang
disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya;
Mafhumnya: Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah
bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa
diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada
didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa
untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan
berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama (Hadis
diriwayatkan oleh Muslim)
Berdosa besar menyembunyikan Ilmu
Mempelajari ilmu pengubatan Islam adalah Fardu Kifayah dan ia
dituntut supaya ada di kalangan kelompok masyarakat umat Islam
mempelajarinya. Ilmu ini tidak boleh disimpan atau dirahsiakan.
Adalah berdosa besar menyembunyikan ilmu sebagaimana di sebut oleh
Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya;
Mafhumnya: Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah
bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia
menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan
rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)
Mengamalkan Ilmu Perubatan Islam sebagai dakwah
Mempelajari ilmu pengubatan Islam dan mengamalkannya juga
merupakan sebahagian daripada dakwah. Dakwah yang paling besar ialah
mengajak masyarakat supaya meninggalkan ilmu-ilmu pengubatan yang
mengandungi unsur-unsur syirik yang tidak diakui sah oleh Islam
seperti yang diamalkan oleh sebahagian daripada pengamal perubatan
tradisional Melayu.
Perlu mendapat Ilmu terus daripada guru dan
diijazahkan
Ilmu pengubatan Islam mesti dipelajari daripada guru secara
terus, anak murid seboleh-bolehnya melihat muka tuan guru ketika
menerima ilmu tersebut. Kemudian setelah selesai belajar, guru akan
mengijazahkan dengan ilmu pengubatan Islam, sebagai tanda tamat
belajar.
Jangan meninggalkan amalan Bacaan Asas
10
Saya ingin berpesan walaupun apa yang berlaku, apabila saudara
hendak menjadi perawat atau pembantu perawat, menjadi pengajar,
menjadi guru atau sebagainya, pesan saya ialah jangan tinggal
langsung Bacaan Asas 10 Pertama dan Kedua. Sekurang-kurangnya itu
yang saudara hafal dan amalkan.
Sebab musuh utama kita ialah syaitan dan dia tahu bahawa kita
telah belajar ilmu yang boleh menyakiti dia atau tidak menyenangkan
dia berada di dalam badan manusia, maka dia dengan sendirinya akan
mencari dimana kelemahan yang ada pada kita.
Sebagai satu misalan orang yang belajar ilmu silat, apabila
tidak mengamalkan ilmu silat tersebut, tidak berlatih menggunakan
tenaganya, mengayakan balik buah-buah silat yang dipelajarinya maka
dengan sendirinya lama kelamaan dia menjadi seperti orang yang tidak
belajar juga. Saya menggunakan analogi ini untuk menyatakan bahawa
dalam bacaan 10 pertama dan kedua itu terdapat ayat-ayat yang memang
digunakan khas untuk membantu manusia bagi mengatasi masalah
gangguan makhluk halus. Bila diamalkan selalu, insya-Allah ia
menjadi senjata yang boleh digunakan sebagai perlindungan dari
gangguan makhluk halus yang cuba merosakkan kita.
Bersabar menghadapi cubaan dan dugaan
Bila beramal dengan ilmu-ilmu pengubatan Islam ini, saudara
pasti akan berjumpa dengan halangan-halangan kerana “Tidak ada suatu
yang baik melainkan ada halangannya, itu adalah perkara biasa”
kerana Setiap nikmat yang anda perolehi itu, jangan lupa bahawa ada
yang mendengkinya seperti disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam
sabdanya;
Mafhumnya: “Berahsialah ketika melaksanakan
keperluan-keperluanmu, kerana sesungguhnya setiap yang mendapatkan
nikmat ada yang hasad (kepadanya)”.
(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Imam al-Thabrani).
Jangan menetapkan bayaran untuk rawatan
Prinsip kita memberikan rawatan adalah secara percuma, walaupun
syariat Islam tidak menghalang kita menerima pemberian daripada
pesakit. Janganlah menetapkan bayaran sebelum dan selepas merawat
pesakit. Rawatan yang diberikan hendaklah dengan niat ikhlas kerana
Allah SWT. Kita berserah kepada Allah SWT dan membiarkan-Nya
memberikan balasan kepada kita. Yang manakah yang lebih baik
balasannya? daripada manusia atau daripada Allah SWT? Kita perlu
memahami bahawa manusia bersifat kedekut, suka berkira, suka
mengungkit, kadang kala sifat manusia ini menyakitkan hati kita.
Kita hanya meminta supaya Allah SWT sahaja yang membalas, kerana
Dialah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.
Wajib menyimpan rahsia pesakit
Ketika dirawat, kadangkala pesakit menyebutkan perkara-perkara
yang tidak benar dan juga perkara-perkara yang mengaibkan, justeru
itu adalah wajib bagi kita merahsiakan cerita-cerita yang
diberitahukan kepada kita oleh pesakit.
Jangan mengatakan “Buatan Orang atau Kena
Sihir”
Ketika memberikan rawatan jangan menyebutkan perkara-perkara
yang tidak betul umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan
sihir atau buatan orang. Kita tidak mengetahui semua itu, yang maha
mengetahui hanya Allah SWT. Kerana perbuatan begini (mengatakan
sebab sihir atau buatan orang) boleh memecah-belahkan sesama ahli
keluarga pesakit dan inilah yang sangat disukai oleh
syaitan.
Memberikan harapan kepada pesakit
Sepatutnya kita memberikan harapan kepada pesakit dengan
memberikan keyakinan kepada mereka bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda;
Mafhumnya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah Allah
menurunkan penyakit kecuali berserta dengan ubatnya” (Hadis
diriwayatkan oleh Imam Bukhari)
Allah SWT menurunkan setiap penyakit dan Allah juga yang
menyediakan ubat bagi setiap penyakit. Sesuatu penyakit yang
dihidapi oleh seseorang adalah salah satu ujian daripada Allah SWT.
Ujian tersebut yang sebenarnya sangat kecil jika dibandingkan dengan
rahmat Allah SWT yang diberikan kepada kita adalah sangat
besar.
Elakkan daripada menawarkan diri untuk
merawat
Kita akan bertemu dengan pelbagai masalah dan kerenah pesakit
di dalam masyarakat, jangan menawarkan diri untuk memberikan rawatan
sebaliknya berilah rawatan apabila diminta. Ini untuk mengelakkan
kita daripada dipersalahkan apabila penyakit itu tidak sembuh atau
merebak atau yang lebih buruk daripada itu jika pesakit itu kembali
ke rahmatullah.
Berikhtiar dan berserah kepada Allah
SWT.
Semua masalah penyakit, kita hanya merujuk kepada Allah
SWT.
Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan tidak akan
berlaku melainkan dengan izin Allah SWT.
Kita hanya berikhtiar untuk membantu mereka, ada usaha kita dan
doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah SWT
tangguhkan, yang paling penting kita berikhtiar bersungguh-sungguh
dengan ikhlas kerana Allah SWT.
Jadilah Hamba Allah yang terbaik
Sebaik-baik manusia ialah yang memberikan manfaat kepada orang
lain, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda;
Mafhumnya:Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat
bagi manusia lainnya (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ahmad dan
Thabrani)
Saudara perlu mempunyai azam untuk menjadi hamba Allah yang
terbaik. Tinggalkanlah segala yang haram dan ambillah yang halal
sahaja. Berilah bantuan kepada masyarakat yang datang kepada kita
dan memerlukan pertolongan kita.